6 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara.
7 Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!”
8 Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, “Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.”
9 Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, “Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan,
10 akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba.
11 Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.”
12 Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati.