11 Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan.
12 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam.
13 Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu.
14 Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.”
15 Malaikat itu berkata pula kepadaku, “Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa.
16 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api.
17 Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku.