Wahyu 17:7-13 BM

7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk.

8 Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula.

9 Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja.

10 Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja.

11 Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan.

12 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam.

13 Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu.