Wahyu 18:18-24 BM

18 Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, “Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!”

19 Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, “Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!”

20 Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu!

21 Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, “Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi.

22 Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi!

23 Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!”

24 Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu - singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi.