5 Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, “Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia - baik orang besar mahupun orang biasa!”
6 Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, “Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja!
7 Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu.
8 Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.” (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.)
9 Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, “Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.” Malaikat itu berkata lagi, “Inilah firman yang benar daripada Allah.”
10 Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, “Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus.”Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi.
11 Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan.