12 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus:Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua.
13 Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal.
14 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul.
15 Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus.
16 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku.
17 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.”
18 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Tiatira:Inilah perkhabaran daripada Anak Allah, yang mata-Nya bernyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang digosok.