Wahyu 20:3-9 BM

3 Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu. Selepas itu naga itu mesti dilepaskan untuk masa yang singkat.

4 Kemudian aku nampak takhta-takhta dan orang yang duduk di atas takhta-takhta itu diberikan kuasa untuk menghakimi. Aku juga melihat roh-roh orang yang sudah dipancung kerana memberitakan ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus, dan kerana menyampaikan firman Allah. Mereka tidak menyembah binatang itu ataupun patungnya. Mereka tidak menerima tanda binatang itu pada dahi ataupun pada tangan. Mereka hidup semula dan memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun.

5 (Tetapi orang mati lainnya tidak hidup semula sehingga masa seribu tahun itu berlalu.) Inilah tahap pertama orang mati dibangkitkan.

6 Berbahagialah mereka yang dibangkitkan pada tahap pertama itu; mereka milik Allah. Kematian tahap kedua tidak berkuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama Dia selama seribu tahun.

7 Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara,

8 dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai.

9 Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu.