7 Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara,
8 dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai.
9 Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu.
10 Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya.
11 Kemudian aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi.
12 Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu.
13 Lalu laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut pun menyerahkan orang mati yang di situ. Semua orang mati diadili menurut perbuatan masing-masing.