1 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Sardis:Inilah perkhabaran daripada Dia yang mempunyai tujuh Roh Allah dan tujuh buah bintang itu. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Kamu dikatakan hidup, padahal kamu mati!
2 Oleh itu, bangunlah dan perkuatlah apa yang masih ada pada kamu sebelum semuanya mati sama sekali. Hal itu demikian kerana Aku dapati apa yang kamu lakukan masih belum sempurna di sisi Allah-Ku.
3 Ingatlah kembali apa yang telah diajarkan kepada kamu dan apa yang telah kamu dengar. Taatilah semuanya dan bertaubatlah daripada dosa kamu. Jika kamu tidak bangun, Aku akan datang kepada kamu seperti pencuri dan kamu tidak akan mengetahui saatnya Aku datang.
4 Tetapi ada beberapa orang antara kamu di Sardis yang menjaga pakaian mereka supaya tetap bersih. Mereka akan berjalan bersama-sama Aku dengan berpakaian putih, kerana mereka layak berbuat demikian.