5 Mereka yang menang akan dikenakan pakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan menghapuskan nama mereka dari Kitab Orang Hidup. Di hadapan Bapa-Ku dan malaikat-malaikat-Nya Aku akan mengaku bahawa mereka milik-Ku.
6 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!”
7 “Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Filadelfia:Inilah perkhabaran daripada Dia yang suci dan setia. Dia memegang kunci yang dimiliki Daud; apabila Dia membuka pintu, tidak seorang pun dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tidak seorang pun dapat membukanya.
8 Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak seberapa kuat, tetapi kamu telah mengikut ajaran-Ku dan setia kepada-Ku. Aku telah membuka sebuah pintu bagi kamu, yang tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun.
9 Ketahuilah! Orang yang berpihak kepada Iblis, pendusta-pendusta yang mengaku diri mereka orang Yahudi padahal bukan, akan Aku bawa kepada kamu untuk bersujud di hadapan kamu. Mereka semua akan tahu bahawa Aku mengasihi kamu.
10 Kerana kamu menurut perintah-Ku supaya tabah ketika menanggung penderitaan, Aku pun akan menyelamatkan kamu daripada masa kesusahan yang akan menimpa seluruh dunia untuk menguji semua orang di bumi.
11 Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu.