2 Lalu aku nampak malaikat lain muncul dari sebelah timur, dengan membawa meterai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu memanggil keempat-empat malaikat yang sudah diberikan kuasa oleh Allah untuk merosakkan darat dan laut.
3 Malaikat itu berkata, “Janganlah rosakkan darat, atau laut, ataupun pokok-pokok, sehingga kami telah memeterai dahi hamba-hamba Allah kita.”
4 Aku diberitahu bahawa 144,000 orang ditandai dengan meterai Allah pada dahi mereka. Mereka berasal daripada dua belas suku Israel;
5-8 dua belas ribu orang daripada setiap suku, iaitu suku Yehuda, Ruben, Gad, Asyer, Naftali, Manasye, Simeon, Lewi, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin.
9 Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu.
10 Mereka berseru dengan suara kuat, “Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!”
11 Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah.