1 Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maria dan Marta. (
2 Marialah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.)
3 Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Yesus, “Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit.”
4 Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, “Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.”
5 Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus.
6 Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
7 Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Marilah kita balik ke Yudea.”