Yohanes 8 BM

Wanita yang Didapati Berzina

1 Kemudian semua orang pulang ke rumah, tetapi Yesus pergi ke Bukit Zaitun.

2 Keesokan harinya, pagi-pagi sekali Dia pergi ke Rumah Tuhan dan semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mula mengajar mereka.

3 Sementara itu guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Wanita itu didapati berzina. Mereka menyuruh wanita itu berdiri di hadapan semua orang,

4 lalu berkata kepada Yesus, “Guru, wanita ini tertangkap basah ketika berzina.

5 Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?”

6 Mereka bertanya demikian kerana hendak memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia. Tetapi Yesus menunduk dan menulis di tanah dengan jari-Nya.

7 Mereka terus-menerus bertanya kepadanya. Oleh itu Yesus meluruskan badan-Nya dan berkata kepada mereka, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.”

8 Setelah itu Yesus menunduk semula dan menulis lagi di atas tanah.

9 Apabila mereka mendengar Yesus berkata demikian, seorang demi seorang, mulai daripada yang tertua, meninggalkan tempat itu. Akhirnya hanya Yesus dan wanita yang masih berdiri itu ada di sana.

10 Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada wanita itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang menghukum kamu?”

11 “Tidak ada, tuan,” jawabnya.“Baiklah,” kata Yesus, “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.”]

Yesus, Cahaya bagi Dunia

12 Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”

13 Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, “Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.”

14 Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi.

15 Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun.

16 Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku.

17 Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar.

18 Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”

19 “Bapamu itu di mana?” tanya mereka.Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.”

20 Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba.

Ke Tempat Aku Pergi, Kamu Tidak Boleh Pergi

21 Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”

22 Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ”

23 Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.

24 Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ”

25 “Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka.Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu.

26 Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.”

27 Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa.

28 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku.

29 Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”

30 Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya.

Orang Bebas dan Hamba

31 Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku.

32 Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”

33 Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ”

34 Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa.

35 Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga.

36 Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas.

37 Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku.

38 Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.”

39 Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.”Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham.

40 Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian!

41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.”Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.”

42 Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku.

43 Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku.

44 Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta.

45 Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku.

46 Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?

47 Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”

Yesus dan Abraham

48 Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.”

49 Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku.

50 Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil.

51 Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.”

52 Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.’

53 Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?”

54 Yesus menjawab, “Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu.

55 Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya.

56 Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergembira.”

57 Mereka berkata kepada Yesus, “Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?”

58 Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.”

59 Kemudian semua orang Yahudi di situ memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri lalu meninggalkan Rumah Tuhan.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21