46 Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus.
47 Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, “Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat!
48 Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!”
49 Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa.
50 Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?”
51 Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi.
52 Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai.