17 Orang ramai yang hadir ketika Yesus memanggil Lazarus keluar dari kubur dan membangkitkannya daripada kematian, sudah memberitahukan kejadian itu.
18 Itulah sebabnya orang ramai menjumpai Yesus, kerana mereka mendengar bahawa Dia sudah melakukan mukjizat itu.
19 Orang Farisi berkata sesama sendiri, “Lihatlah, seluruh dunia sudah mengikut dia. Usaha kita sia-sia belaka!”
20 Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu.
21-22 Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, “Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.”(Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus.
23 Yesus berkata kepada mereka, “Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan.
24 Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum.