13 Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku.
14 Roh akan memuliakan Aku, kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.
15 Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Itulah sebabnya Aku berkata bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.”
16 Yesus berkata, “Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.”
17 Beberapa orang pengikut Yesus bertanya sesama sendiri, “Apakah maksud Dia berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku’? Dia juga berkata, ‘Aku akan pergi kepada Bapa.’
18 Apakah erti ‘tidak lama lagi’ itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!”
19 Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, “Tadi Aku berkata, ‘Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.’ Adakah kamu mempersoalkan hal itu?