24 Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas.
25 Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!”
26 Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?”
27 Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok.
28 Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska.
29 Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?”
30 Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.”