10 Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mahu berkata apa-apa kepadaku? Ketahuilah bahawa aku berkuasa membebaskan kamu ataupun menyalibkan kamu!”
11 Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diri-Ku kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu orang yang menyerahkan Aku kepadamu, dosanya lebih besar daripada dosamu.”
12 Apabila Pilatus mendengar kata-kata ini, dia berusaha untuk membebaskan Yesus. Tetapi semua orang Yahudi di situ berseru, “Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar. Sesiapa yang mengaku dirinya raja, melawan Kaisar!”
13 Apabila Pilatus mendengar kata-kata itu, dia membawa Yesus ke luar lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang bernama “Lantai Batu.” (Dalam bahasa Ibrani namanya “Gabata”.)
14 Masa itu hampir pukul dua belas tengah hari, dan esok Perayaan Paska. Pilatus berkata kepada semua orang di situ, “Inilah raja kamu!”
15 Mereka berseru, “Bunuh dia! Bunuh dia! Salibkan dia!”“Kamu mahu aku menyalib raja kamu?” tanya Pilatus.Ketua-ketua imam menjawab, “Kaisar satu-satunya raja kami!”
16 Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi.