1 Setelah itu Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya di Tasik Tiberias. Beginilah peristiwa itu berlaku:
2 Simon Petrus, Tomas (yang disebut Si Kembar), Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Yesus yang lain, sedang berkumpul.
3 Simon Petrus berkata kepada mereka, “Aku hendak pergi menjala ikan.”Mereka berkata kepadanya “Kami ikut.” Oleh itu mereka menaiki perahu lalu bertolak. Tetapi sepanjang malam itu mereka tidak mendapat seekor ikan pun.
4 Apabila matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia Yesus.
5 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Hai kawan-kawan, adakah kamu mendapat ikan?”“Tidak! Seekor pun tidak,” jawab mereka.
6 Yesus berkata kepada mereka, “Labuhkanlah jala ke sebelah kanan perahu, lalu kamu akan mendapat ikan.” Mereka melabuhkan jala, tetapi mereka tidak terdaya menariknya kembali kerana terlalu banyak ikan yang tertangkap.