Yohanes 21:12-18 BM

12 Yesus berkata kepada mereka, “Marilah makan.” Tidak seorang pun daripada pengikut-Nya berani bertanya, “Siapakah tuan?” kerana mereka tahu bahawa Dia Tuhan.

13 Oleh itu, Yesus menghampiri mereka, mengambil roti, lalu memberikan roti itu kepada mereka. Dia berbuat demikian juga dengan ikan itu.

14 Inilah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian.

15 Setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, “Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?”Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.”Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah anak-anak domba-Ku.”

16 Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?”Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.”Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.”

17 Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?”Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, “Adakah kamu mengasihi Aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!”Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku.

18 Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.”