17 Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, “Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?”“Dia nabi,” jawabnya.
18 Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya,
19 lalu bertanya kepada mereka, “Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?”
20 Ibu bapanya menjawab, “Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir.
21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.”
22 Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat.
23 Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, “Dia sudah dewasa; tanyalah dia.”