1 Kini Raja Daud sudah sangat tua. Walaupun hamba-hamba raja menyelimutinya dengan selimut, baginda masih kesejukan.
2 Oleh itu para pegawai raja berkata kepadanya, “Benarkanlah hamba sekalian mencari seorang gadis untuk tinggal bersama dengan tuanku dan menjaga tuanku. Dia akan tidur bersama-sama tuanku dan memanaskan badan tuanku.”
3 Kemudian para pegawai mencari seorang gadis yang cantik di seluruh negeri Israel. Mereka menemui seorang gadis yang bernama Abisag di Sunem, lalu membawa dia kepada raja.
4 Gadis itu sangat cantik. Dia melayani raja dan menjaga baginda, tetapi raja tidak bersetubuh dengan gadis itu.
5-6 Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya.
7 Adonia berunding dengan Yoab (ibu Yoab bernama Zeruya) dan Imam Abyatar. Kedua-dua mereka bersetuju untuk menyokong Adonia.