1 Raja-Raja 7 BM

Istana Raja Salomo

1 Raja Salomo juga membina sebuah istana untuk dirinya sendiri, dan pembinaan itu memakan masa tiga belas tahun.

2-3 Di dalam istana itu Raja Salomo membina sebuah dewan yang dinamakan Dewan Hutan Lebanon. Panjang dewan itu 44 meter, lebarnya 22 meter, dan tingginya 13.5 meter. Dewan itu mempunyai tiga baris tiang daripada kayu sedar, dan tiap-tiap baris mempunyai lima belas batang tiang untuk menunjang kasau-kasau. Silingnya juga dibuat daripada kayu sedar dan meliputi bilik-bilik stor, yang juga ditunjang oleh tiang-tiang itu.

4-5 Pada dinding sebelah kiri dan kanan dewan itu terdapat beberapa deretan tingkap: tiga deretan pada dinding yang satu berhadapan dengan tiga deretan pada dinding yang lain. Bingkai pintu dan tingkap itu berbentuk segiempat bujur.

6 Raja Salomo juga membina Dewan Tiang. Dewan Tiang itu panjangnya 22 meter dan lebarnya 13.5 meter. Di depan dewan itu ada serambi yang beratap, dan ditunjang oleh tiang-tiang.

7 Ada lagi dewan yang disebut Dewan Takhta, yang juga disebut Dewan Penghakiman. Di dalam dewan itulah Raja Salomo menjalankan penghakiman. Dewan itu dilapisi kayu sedar, dari lantai sampai ke kasau-kasaunya.

8 Tempat tinggal Raja Salomo sendiri dibina di halaman lain, di belakang Dewan Penghakiman. Bentuknya serupa dengan bangunan yang lain. Raja Salomo juga membina sebuah rumah yang sama untuk isterinya, puteri raja Mesir.

9 Semua bangunan itu, termasuk halamannya yang besar, dari asas bangunan sampai ke bumbung, dibuat daripada batu yang baik. Batu-batu itu disediakan di kuari dan dipotong menurut ukuran yang ditentukan; bahagian dalam dan bahagian luar batu-batu itu diratakan dengan gergaji.

10 Asas bangunan itu dibuat daripada batu-batu besar yang disediakan di kuari; ada yang panjangnya 3.5 meter, dan ada juga yang 4 meter.

11 Di atas batu-batu asas itu, diletakkan batu-batu lain yang berharga, yang dipahat menurut ukuran, lalu ditutup dengan kayu sedar.

12 Halaman istana dan halaman sebelah dalam Rumah TUHAN, dan bilik di bahagian depan Rumah TUHAN mempunyai tembok yang berlapis: satu lapis daripada kayu sedar di atas setiap tiga lapis batu.

Tugas Huram

13 Raja Salomo menyuruh orang menjemput seorang yang bernama Huram, seorang tukang gangsa yang tinggal di kota Tirus.

14 Bapa Huram, yang sudah meninggal, berasal dari kota Tirus. Dahulu bapa Huram itu pun seorang tukang gangsa yang handal. Ibu Huram keturunan suku Naftali. Huram seorang tukang yang mahir, pandai, dan berpengalaman. Dia menyambut jemputan Raja Salomo untuk mengurus pembuatan barang-barang daripada gangsa.

Dua Batang Tiang Gangsa

15 Huram membuat dua batang tiang gangsa; setiap tiang tingginya 8 meter dan lingkarnya 5.3 meter.

16 Dia juga membuat dua buah kepala tiang daripada gangsa; setiap kepala tiang itu tingginya 2.2 meter, dan diletakkan di atas tiang-tiang itu.

17 Bahagian atas tiang-tiang itu dihiasi dengan untaian rantai yang dijalin

18 dan dua baris buah delima yang dibuat daripada gangsa.

19 Kepala tiang itu berbentuk bunga bakung, tingginya 1.8 meter,

20 dan diletakkan pada bahagian bulat di atas anyaman rantai tadi. Semuanya ada 200 buah delima dalam dua baris pada setiap kepala tiang yang kedua.

21 Huram mendirikan tiang-tiang itu di depan pintu Rumah TUHAN. Tiang yang di sebelah selatan dinamakan Yakhin, dan yang di sebelah utara dinamakan Boas.

22 Kepala tiang yang berbentuk bunga bakung dan dibuat daripada gangsa diletakkan di atas tiang.Demikianlah Huram menyelesaikan pembuatan tiang-tiang itu.

Tangki Gangsa

23 Kemudian Huram membuat sebuah tangki bulat daripada gangsa; dalamnya 2.2 meter, garis tengahnya 4.4 meter, dan lilitannya 13.2 meter.

24 Dua baris buah labu yang diacu bersama dengan tangki itu menghiasi sekeliling tepi sebelah luar tangki itu.

25 Tangki itu diletakkan di atas belakang dua belas lembu jantan yang dibuat daripada gangsa, yang menghadap ke luar: tiga menghadap ke utara, tiga ke barat, tiga ke selatan, dan tiga ke timur.

26 Tebal tepi tangki itu 75 milimeter. Tepi tangki itu serupa tepi cawan, yang melengkung ke luar seperti kelopak bunga bakung. Tangki itu dapat menampung air sebanyak 40,000 liter.

Pedati Gangsa

27 Huram juga membuat sepuluh buah pedati gangsa. Tiap-tiap pedati itu panjangnya 1.8 meter, lebarnya 1.8 meter dan tingginya 1.3 meter.

28 Pedati itu dibuat daripada papan-papan empat segi yang berbingkai,

29 dan dihias dengan ukiran gambar singa, lembu jantan, dan kerub. Pada bingkainya, di sebelah atas dan di sebelah bawah gambar singa dan lembu jantan itu, terdapat ukiran timbul rangkaian bunga.

30 Tiap-tiap pedati mempunyai empat roda gangsa dengan gandar daripada gangsa juga. Pada keempat-empat penjuru pedati itu terdapat penyangga gangsa untuk menyangga sebuah besen. Penyangga itu dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga.

31 Bahagian atas keempat-empat penyangga itu dihubungkan oleh sebuah bingkai bulat untuk menyangga besen itu. Penyangga itu menonjol setinggi 44 sentimeter di atas papan empat segi itu, dan 22 sentimeter di bawahnya. Di sekeliling bingkai itu ada ukiran.

32 Roda pedati itu setinggi 66 sentimeter, dan dipasang di bawah papan-papan yang berbingkai. Gandar roda itu seiras dengan pedati.

33 Roda pedati itu seperti roda kereta kuda. Gandar roda, rim, jari-jari, dan pusat roda pedati itu semuanya dibuat daripada gangsa.

34 Di sebelah bawah keempat-empat sudut setiap pedati, terdapat empat penyangga yang juga seiras dengan pedati itu.

35 Di sekeliling bahagian atas pedati itu ada pinggiran selebar 22 sentimeter. Penyangga pedati dan papan-papannya seiras dengan pedati itu.

36 Semua penyangga dan papan itu berukir gambar kerub, singa, dan pokok palma pada semua tempat yang dapat diukir, dan juga dihias dengan ukiran timbul rangkaian bunga di sekelilingnya.

37 Demikianlah caranya pedati-pedati itu dibuat; semuanya serupa, baik bentuk mahupun ukurannya.

38 Huram juga membuat 10 buah besen, sebuah bagi tiap-tiap pedati. Garis tengah setiap besen berukuran 1.8 meter, dan dapat menampung air sebanyak 800 liter.

39 Huram meletakkan lima buah pedati itu di bahagian selatan Rumah TUHAN, dan lima buah lagi di bahagian utara. Tangki gangsa itu diletakkannya di sudut sebelah tenggara.

Senarai Perkakas di Rumah TUHAN

40-45 Huram juga membuat periuk, penyodok, dan mangkuk. Dia menyelesaikan segala pekerjaannya bagi Raja Salomo untuk digunakan di Rumah TUHAN. Inilah senarai perkakas yang dibuatnya:2 batang tiang2 buah kepala tiang yang berbentuk mangkuk yang diletakkan di atas tiang-tiangJalinan rantai pada setiap kepala tiang400 buah delima daripada gangsa yang disusun dalam dua baris di sekeliling jalinan rantai pada setiap kepala tiang10 buah pedati10 buah besen1 buah tangki gangsa12 lembu jantan daripada gangsa untuk menunjang tangkiPeriuk-periuk, belanga-belanga, penyodok-penyodok, dan mangkuk-mangkukSemua perkakas Rumah TUHAN yang dibuat oleh Huram bagi Raja Salomo dibuat daripada gangsa yang digilap.

46 Sesuai dengan perintah raja, semua perkakas itu dibuat di peleburan logam di antara Sukot dan Sartan, di Lembah Yordan.

47 Raja Salomo tidak menimbang perkakas-perkakas gangsa itu, kerana terlalu banyak bilangannya. Oleh itu beratnya tidak diketahui.

48 Raja Salomo juga menyuruh orang membuat perabot-perabot emas bagi Rumah TUHAN: mazbah, meja untuk roti yang dipersembahkan kepada Allah,

49 sepuluh buah kaki pelita yang diletakkan di hadapan Bilik Maha Suci - lima buah di sebelah selatan dan lima buah di sebelah utara, bunga, pelita, penyepit,

50 cawan, alat untuk membersihkan sumbu pelita, mangkuk, pinggan untuk menyimpan kemenyan, perbaraan, engsel untuk pintu Bilik Maha Suci dan pintu-pintu luar Rumah TUHAN. Semua perkakas itu dibuat daripada emas.

51 Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN, baginda menyimpan perak, emas, dan barang-barang lain yang telah ditahbiskan kepada TUHAN oleh Raja Daud, ayahanda baginda. Barang-barang itu disimpan di dalam stor-stor Rumah TUHAN.

Bab

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22