11 Kemudian Nabi Natan pergi berjumpa dengan Batsyeba, ibu Salomo, dan bertanya kepadanya, “Belumkah permaisuri mendengar bahawa Adonia anak Hagit, telah mengangkat dirinya sendiri sebagai raja? Tetapi Raja Daud tidak tahu tentang hal itu!
12 Jika permaisuri hendak menyelamatkan nyawa permaisuri sendiri dan nyawa Salomo, putera permaisuri, dengarlah nasihat hamba.
13 Pergilah dengan segera kepada Raja Daud, dan tanyalah kepada baginda, ‘Bukankah tuanku telah berjanji bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja? Mengapakah sekarang Adonia pula yang menjadi raja?’ ”
14 Nabi Natan berkata lagi, “Sedang permaisuri bercakap dengan Raja Daud nanti, hamba akan datang dan mengesahkan kata-kata permaisuri.”
15 Oleh itu Batsyeba menghadap raja di bilik tidurnya. Raja sudah sangat tua dan Abisag, gadis dari Sunem itu sedang menjaga baginda.
16 Batsyeba bersujud di hadapan raja, lalu raja bertanya kepadanya, “Apakah hajatmu?”
17 Batsyeba menjawab, “Tuanku telah berjanji demi TUHAN, Allah tuanku, bahawa Salomo, putera hamba akan menggantikan tuanku sebagai raja.