19 Dia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba, dan anak lembu yang gemuk sebagai korban, serta menjemput putera-putera tuanku, Imam Abyatar, dan Yoab, panglima tentera tuanku, ke jamuan itu, tetapi Adonia tidak menjemput Salomo, putera tuanku.
20 Sekarang segenap rakyat sedang menanti-nantikan titah tuanku tentang siapa yang akan menggantikan tuanku sebagai raja.
21 Jika tuanku tidak memberikan keputusan itu, tentu segera sesudah tuanku mangkat, Salomo, putera hamba dan hamba akan dituduh sebagai pengkhianat.”
22 Sedang Batsyeba bercakap, Nabi Natan tiba di istana.
23 Raja Daud diberitahu tentang kedatangan Nabi Natan, lalu Nabi Natan masuk dan bersujud di hadapan raja.
24 Nabi Natan berkata kepada raja, “Adakah tuanku telah bertitah bahawa Adonia akan menggantikan tuanku sebagai raja?
25 Pada hari ini Adonia telah mempersembahkan banyak lembu jantan, domba dan anak lembu yang digemukkan sebagai korban. Dia menjemput semua putera tuanku, Yoab panglima tentera tuanku, dan Imam Abyatar. Pada masa ini mereka sedang berpesta bersama-sama Adonia sambil bersorak, ‘Daulat Tuanku Raja Adonia!’