47 Lagi pun para pegawai istana masuk menghadap Raja Daud untuk mengucapkan tahniah kepada baginda. Mereka berkata, ‘Semoga Allah tuanku menjadikan Raja Salomo lebih termasyhur daripada tuanku, dan semoga kerajaan baginda lebih makmur daripada kerajaan tuanku.’ Kemudian Raja Daud bersujud di tempat tidurnya untuk menyembah TUHAN,
48 sambil berdoa, ‘Terpujilah Engkau, ya TUHAN, Allah Israel. Pada hari ini Engkau telah melantik salah seorang keturunanku menjadi raja untuk menggantikan aku. Engkau telah membenarkan aku menyaksikannya!’ ”
49 Kemudian para jemputan Adonia berasa takut. Mereka berdiri dan meninggalkan tempat itu, masing-masing pergi mengikut jalannya sendiri.
50 Adonia sangat takut kepada Raja Salomo sehingga dia pergi ke Khemah TUHAN, lalu memegang unjuran-unjuran mazbah.
51 Raja Salomo diberitahu bahawa Adonia takut kepada baginda dan dia sedang memegang unjuran-unjuran mazbah. Adonia berkata, “Hamba tidak akan pergi dari sini sebelum Raja Salomo bersumpah bahawa baginda tidak akan membunuh hamba.”
52 Raja Salomo menjawab, “Jika Adonia setia, dia tidak akan dihukum sedikit pun. Tetapi jika dia tidak setia, dia akan dibunuh.”
53 Kemudian Raja Salomo menyuruh orang menurunkan Adonia dari mazbah itu. Adonia datang menghadap raja dan bersujud di hadapan baginda. Raja bertitah kepadanya, “Baiklah, kamu boleh pulang.”