12 Tetapi demi bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal ini semasa hidupmu, melainkan pada masa pemerintahan anakmu.
13 Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripadanya; Aku akan memberi dia satu suku demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku.”
14 Oleh itu TUHAN menyebabkan Hadad, seorang daripada keluarga diraja negeri Edom, memusuhi Raja Salomo.
15-16 Lama sebelum itu, selepas Raja Daud mengalahkan Edom, Yoab, panglima tentera Raja Daud pergi ke sana untuk menguburkan askar-askarnya yang gugur. Yoab dan anak buahnya tinggal di Edom selama enam bulan. Pada masa itu mereka membunuh semua orang lelaki di Edom,
17 kecuali Hadad dan beberapa orang hamba bapanya, yang berbangsa Edom; mereka melarikan diri ke Mesir. (Ketika itu Hadad masih kanak-kanak.)
18 Beberapa orang Edom yang masih hidup itu meninggalkan Midian lalu pergi ke Paran. Di sana beberapa orang lagi bergabung dengan mereka, lalu mereka pergi ke Mesir dan menghadap raja negeri itu. Raja Mesir memberikan tanah, sebuah rumah, dan juga makanan kepada Hadad.
19 Kemudian Hadad menjadi sahabat baik raja Mesir, sehingga raja itu memberikan iparnya sendiri, iaitu adik Permaisuri Tahpenes, kepada Hadad sebagai isterinya.