13-14 Raja tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda menurut nasihat orang muda lalu bertitah kepada rakyat dengan kasar, “Ayahanda beta memberi kamu beban yang berat, tetapi beta akan memberi kamu beban yang lebih berat. Ayahanda beta menyebat kamu dengan cambuk, tetapi beta akan menyebat kamu dengan cambuk yang berduri besi!”
15 TUHAN hendak menepati firman-Nya yang disampaikan kepada Yerobeam anak Nebat melalui Nabi Ahia dari Silo. Itulah sebabnya raja tidak menghiraukan permintaan rakyat.
16 Apabila rakyat sedar bahawa raja tidak mahu mengabulkan permintaan mereka, mereka berseru, “Peduli apa dengan Raja Daud dan keluarganya? Mereka tidak pernah melakukan apa-apa untuk kita! Hai umat Israel, marilah kita pulang! Biarlah Raja Rehabeam menjaga dirinya sendiri!”Oleh itu umat Israel memberontak,
17 dan Rehabeam menjadi raja hanya bagi penduduk wilayah Yehuda.
18 Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoniram, pengawas buruh paksa, pergi kepada orang Israel, tetapi mereka merejam dia sehingga mati. Oleh itu Raja Rehabeam tergesa-gesa melarikan diri ke Yerusalem dengan menaiki kereta kudanya.
19 Sejak itu, penduduk di bahagian utara kerajaan Israel sentiasa memberontak terhadap raja-raja keturunan Raja Daud.
20 Apabila umat Israel mendengar bahawa Yerobeam telah pulang dari Mesir, mereka menjemput dia ke satu perjumpaan rakyat, lalu melantik dia menjadi raja Israel. Hanya suku Yehuda yang tetap setia kepada keturunan Raja Daud.