4 “Ayahanda tuanku, Raja Salomo, telah memperlakukan hamba semua dengan kasar dan memberikan beban yang berat. Sekarang jika tuanku meringankan beban hamba semua dan memperlakukan hamba sekalian dengan baik, hamba semua akan menjadi rakyat yang setia kepada tuanku.”
5 Raja Rehabeam menjawab, “Datanglah lagi selepas tiga hari; beta akan memberikan jawapan kelak.” Oleh itu mereka pun pergi.
6 Raja Rehabeam meminta nasihat daripada para orang tua yang telah berkhidmat sebagai penasihat kepada ayahandanya. “Bagaimanakah beta harus jawab orang itu?” tanya Raja Rehabeam. “Apakah nasihat kamu?”
7 Para orang tua itu menjawab, “Jika tuanku hendak berbakti kepada rakyat, kabulkanlah permintaan mereka, maka mereka pun akan berbakti dengan setia kepada tuanku.”
8 Tetapi Raja Rehabeam tidak mempedulikan nasihat para orang tua itu. Sebaliknya, baginda bertanya pula kepada orang muda yang sebaya dengan baginda, dan yang kini menjadi penasihat baginda.
9 Raja bertitah, “Apakah nasihat kamu? Apakah yang harus beta katakan kepada semua orang itu, yang meminta beta meringankan beban mereka?”
10 Mereka menjawab, “Katakanlah kepada mereka, ‘Jari kelengkeng beta lebih besar daripada pinggang ayahanda beta!’