1 Pada masa itu, ada seorang nabi dari Yehuda. Dia disuruh oleh TUHAN untuk pergi ke Betel. Nabi itu tiba di sana ketika Raja Yerobeam berdiri di depan mazbah untuk mempersembahkan korban.
2 Atas perintah TUHAN, nabi itu mengecam mazbah di sana, katanya, “Hai mazbah, mazbah, demikianlah firman TUHAN: Seorang anak yang bernama Yosia akan dilahirkan dalam keluarga Raja Daud. Di atasmu, hai mazbah, dia akan menyembelih imam-imam yang bertugas di tempat penyembahan berhala, dan yang mempersembahkan korban di atasmu. Dia akan membakar tulang-tulang manusia di atasmu.”
3 Nabi itu meneruskan lagi, “Mazbah ini akan roboh, dan abu yang ada di atasnya akan bertaburan. Itulah buktinya bahawa TUHAN telah berfirman melalui aku.”
4 Apabila Raja Yerobeam mendengar hal itu, baginda bertitah sambil menunjuk nabi itu, “Tangkap dia!” Ketika itu juga lengan raja menjadi kejang sehingga baginda tidak dapat menariknya semula.