21 lalu dia menyampaikan firman itu kepada nabi yang dari Yehuda, “TUHAN berfirman bahawa kamu tidak taat kepada-Nya, dan bahawa kamu tidak melakukan perintah-Nya.
22 Sebaliknya, kamu balik dan makan di tempat yang telah dilarang-Nya. Oleh itu kamu akan dibunuh, dan mayatmu tidak akan dikebumikan di perkuburan keluargamu.”
23 Setelah makan, nabi tua itu memasang pelana keldai untuk nabi dari Yehuda,
24 lalu nabi itu pun pergi. Di tengah jalan, seekor singa menerkam dia dan membunuhnya. Mayatnya terletak di tengah jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisinya.
25 Beberapa orang yang lalu di situ nampak mayat itu dan singa yang berdiri di sisinya. Mereka pergi ke Betel dan melaporkan hal itu.
26 Apabila nabi tua itu mendengarnya, dia berkata, “Itulah nabi yang tidak taat kepada perintah TUHAN! Oleh itu TUHAN mengirim seekor singa untuk menerkam dan membunuhnya, seperti yang difirmankan TUHAN.”
27 Setelah itu dia berkata kepada anak-anaknya, “Pasanglah pelana keldaiku.” Mereka pun berbuat demikian.