22 Penduduk Yehuda berdosa terhadap TUHAN. Perbuatan mereka lebih membangkitkan kemurkaan TUHAN daripada segala perbuatan nenek moyang mereka.
23 Mereka membina tempat-tempat penyembahan dewa dan mendirikan tiang-tiang berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera untuk disembah di bukit-bukit dan di bawah pokok-pokok besar.
24 Di tempat-tempat itu mereka melakukan pelacuran sebagai penyembahan kepada dewa. Bahkan ada orang lelaki dan perempuan yang bertugas di tempat-tempat itu sebagai pelacur. Penduduk Yehuda melakukan semua perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir TUHAN dahulu, ketika umat Israel menduduki negeri itu.
25 Pada tahun kelima pemerintahan Raja Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir menyerang Yerusalem.
26 Raja Sisak merampas semua harta di Rumah TUHAN dan di istana, termasuk perisai-perisai emas yang dibuat oleh Raja Salomo.
27 Sebagai ganti perisai-perisai emas itu, Raja Rehabeam membuat perisai-perisai gangsa. Raja mempercayakan semua itu kepada para pegawai yang mengawal pintu-pintu gerbang istana.
28 Tiap-tiap kali raja masuk ke Rumah TUHAN, para pengawal mengangkat perisai-perisai itu, dan selepas itu, mereka mengembalikan semuanya ke bilik pengawal.