4 Maka isteri Raja Yerobeam pergi ke rumah Ahia di Silo. Ahia tidak dapat melihat lagi kerana sudah lanjut usia.
5 TUHAN telah memberitahu Ahia bahawa isteri Raja Yerobeam akan datang untuk bertanya kepadanya tentang puteranya yang sakit. TUHAN telah memberitahu dia apa yang harus dikatakannya.Apabila isteri Raja Yerobeam tiba, dia berpura-pura menjadi orang lain.
6 Tetapi apabila Ahia mendengar dia datang di pintu, Ahia berkata, “Sila masuk. Hamba tahu bahawa tuanku ialah isteri Raja Yerobeam. Mengapa berpura-pura menjadi orang lain? Hamba ada berita buruk untuk tuanku.
7 Pergilah beritahu Raja Yerobeam bahawa demikianlah firman TUHAN, Allah Israel kepada baginda, ‘Aku memilih engkau antara rakyat, dan Aku menjadikan engkau raja umat-Ku Israel.
8 Aku mengambil kerajaan Daud daripada keturunannya dan memberikannya kepadamu. Tetapi engkau tidak seperti hamba-Ku Daud. Dia setia kepada-Ku dan taat kepada perintah-Ku. Dia hanya melakukan apa yang Aku kehendaki.
9 Dosamu lebih besar daripada orang yang memerintah sebelum engkau. Engkau telah menolak Aku. Engkau membangkitkan kemurkaan-Ku apabila engkau membuat berhala dan patung daripada logam.
10 Oleh sebab itu Aku akan mendatangkan malapetaka kepada keturunanmu. Aku akan membunuh semua keturunanmu yang lelaki, baik yang muda mahupun yang tua. Aku akan melenyapkan keluargamu. Mereka akan disapu habis seperti najis.