13 Raja Asa menyingkirkan nenek baginda, Maakha, daripada kedudukannya sebagai bonda ratu, kerana Maakha telah membuat sebuah patung lucah, Dewi Asyera, berhala yang melambangkan kesuburan. Raja Asa merobohkan berhala itu dan membakarnya di Lembah Kidron.
14 Walaupun Raja Asa tidak memusnahkan semua tempat penyembahan berhala, namun baginda tetap setia kepada TUHAN seumur hidupnya.
15 Baginda meletakkan semua benda yang telah ditahbiskan oleh ayahandanya bagi Allah di dalam Rumah TUHAN, demikian juga benda-benda emas dan perak yang telah ditahbiskannya sendiri.
16 Raja Asa di Yehuda dan Raja Baesa di Israel sentiasa berperang selama pemerintahan mereka.
17 Raja Baesa menyerang Yehuda lalu mula memperkuat kota Rama untuk menutup jalan keluar masuk Yehuda.
18 Oleh itu Raja Asa mengambil semua perak dan emas yang masih ada di Rumah TUHAN dan di istana, lalu dengan perantaraan beberapa orang pegawainya, Raja Asa mengirim semuanya ke Damsyik, kepada Raja Benhadad di Siria. Raja Benhadad ialah anak Tabrimon dan cucu Hezion. Raja Asa mengirim semuanya dengan pesan ini,
19 “Marilah kita mengikat persahabatan seperti yang dilakukan ayahanda kita dahulu. Emas dan perak ini hadiah untuk tuanku. Putuskanlah hubungan tuanku dengan Raja Baesa di Israel, supaya raja Israel itu terpaksa menarik kembali tenteranya dari wilayah beta.”