19 Hal ini berlaku kerana dosa Raja Zimri terhadap TUHAN. Seperti Raja Yerobeam, raja yang terdahulu, Raja Zimri juga membangkitkan kemurkaan TUHAN kerana dosanya sendiri, dan kerana menyebabkan umat Israel berdosa.
20 Segala perbuatan Raja Zimri, termasuk pakatan jahat yang dilakukannya, tercatat di dalam buku Sejarah Raja-Raja Israel.
21 Orang Israel terbahagi kepada dua pihak; ada yang mahu Tibni anak Ginat menjadi raja, dan ada pula yang mahu Omri menjadi raja.
22 Akhirnya orang yang memihak Omri menang. Tibni meninggal lalu Omri menjadi raja.
23 Maka pada tahun ketiga puluh satu pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Omri menjadi raja Israel. Raja Omri memerintah Israel selama dua belas tahun. Selama enam tahun yang pertama, baginda memerintah di Tirza.
24 Kemudian Raja Omri membeli sebuah bukit daripada seorang yang bernama Semer dengan harga 6,000 keping wang perak. Baginda memperkuat bukit itu dan membina sebuah kota di sana. Raja Omri menamakan kota itu Samaria, mengikut nama Semer, pemilik bukit itu dahulu.
25 Raja Omri berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu.