28 Yoab mendengar apa yang telah berlaku. (Dia telah berpihak kepada Adonia, tetapi dia tidak berpihak kepada Absalom.) Oleh itu dia lari ke Khemah TUHAN dan memegang unjuran-unjuran mazbah.
29 Berita tentang Yoab yang telah pergi ke Khemah TUHAN dan berada di sisi mazbah, disampaikan kepada Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh orang untuk menanyakan Yoab sebabnya dia pergi ke Khemah TUHAN. Yoab menjawab bahawa dia lari kepada TUHAN kerana dia takut akan Raja Salomo. Oleh itu Raja Salomo menyuruh Benaya membunuh Yoab.
30 Benaya pergi ke Khemah TUHAN lalu berkata kepada Yoab, “Raja menyuruh kamu keluar.”Yoab menjawab, “Tidak. Saya mahu mati di sini.”Benaya balik kepada raja dan memberitahu baginda jawapan Yoab.
31 Raja bertitah, “Laksanakanlah apa yang dikatakan Yoab. Bunuhlah dia dan kebumikanlah dia. Dengan demikian beta dan keturunan Raja Daud yang lain tidak lagi bertanggungjawab terhadap perbuatan Yoab ketika dia membunuh orang yang tidak bersalah.
32 TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda.
33 Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.”
34 Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota.