32 TUHAN akan menghukum Yoab kerana pembunuhan yang dilakukannya tanpa pengetahuan Raja Daud, ayahanda beta. Yoab membunuh dua orang yang tidak bersalah, dua orang yang lebih baik daripadanya: Abner panglima tentera Israel dan Amasa panglima tentera Yehuda.
33 Hukuman atas kematian dua orang pahlawan itu akan ditanggung oleh Yoab dan keturunannya sampai selama-lamanya. Tetapi TUHAN akan sentiasa memberikan kejayaan kepada keturunan Raja Daud yang duduk di atas takhta baginda.”
34 Kemudian Benaya pergi ke Khemah TUHAN, lalu membunuh Yoab. Yoab dikebumikan di rumahnya di luar kota.
35 Kemudian Raja Salomo melantik Benaya menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab, dan melantik Imam Zadok untuk menggantikan Abyatar.
36 Selepas itu Raja Salomo memanggil Simei dan bertitah kepadanya, “Binalah sebuah rumah bagimu sendiri di sini, di Yerusalem. Tinggallah di situ dan jangan tinggalkan kota.
37 Jika engkau keluar dan menyeberangi sungai kecil Kidron, tentu engkau akan dibunuh, dan engkau sendirilah yang bertanggungjawab terhadap kematianmu.”
38 “Baiklah tuanku,” jawab Simei. “Hamba akan taat kepada titah tuanku.” Maka Simei tinggal lama di Yerusalem.