14 “Siapakah yang akan mengetuai serangan?” tanya Raja Ahab.Nabi itu menjawab, “Menurut firman TUHAN, askar-askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah akan mengetuai serangan.”“Tetapi siapakah yang akan memulakan serangan?” tanya raja.“Tuanku!” jawab nabi itu.
15 Oleh itu raja memanggil semua askar muda yang di bawah perintah para pegawai daerah, jumlahnya 232 orang askar. Setelah itu baginda memanggil pula tentera Israel dan jumlahnya 7,000 orang.
16 Serangan itu bermula pada tengah hari ketika Raja Benhadad dan tiga puluh dua orang raja sekutunya sedang mabuk di perkhemahan mereka.
17 Askar-askar muda itu bertempur dahulu. Apabila pengintip yang disuruh Raja Benhadad melaporkan bahawa ada sepasukan askar datang dari Samaria,
18 Raja Benhadad bertitah, “Tangkaplah mereka hidup-hidup, sama ada mereka datang untuk berperang ataupun untuk berdamai!”
19 Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel,
20 dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda.