19 Askar-askar muda itu mengetuai serangan, diikuti oleh tentera Israel,
20 dan masing-masing membunuh musuh yang dilawannya. Tentera negeri Siria lari sambil dikejar tentera Israel. Tetapi Raja Benhadad terlepas daripada serangan itu. Dia melarikan diri dengan menunggang seekor kuda, diiringi oleh beberapa orang askar berkuda.
21 Raja Ahab juga keluar bertempur dan memusnahkan kuda serta kereta kuda musuh, sehingga orang Siria kalah teruk.
22 Kemudian nabi itu menghadap Raja Ahab dan berkata, “Pulanglah dan perkuatlah semula tentera tuanku. Buatlah perancangan yang baik, kerana pada musim bunga tahun depan, raja negeri Siria akan menyerang tuanku lagi.”
23 Para pegawai Raja Benhadad berkata kepadanya, “Tuhan-tuhan Israel itu tuhan-tuhan gunung. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi kita pasti mengalahkan mereka jika kita bertempur di tanah rata.
24 Sekarang gantikanlah tiga puluh dua orang raja itu dengan panglima.
25 Lalu kumpulkanlah pasukan tentera sebesar pasukan yang meninggalkan tuanku dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang bilangannya sama seperti dahulu. Kita akan menentang tentera Israel di tanah rata, dan pasti kita akan mengalahkan mereka.”Raja Benhadad bersetuju dan menurut nasihat mereka.