2 Raja Benhadad mengirim beberapa orang utusan kepada Raja Ahab, raja Israel, di kota itu dengan pesan, “Raja Benhadad menuntut
3 supaya raja menyerahkan perak dan emas raja, isteri-isteri, serta anak-anak raja yang terkuat kepada baginda.”
4 Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada baginda Raja Benhadad bahawa beta bersetuju. Baginda boleh memiliki beta dan segala harta beta.”
5 Kemudian utusan-utusan itu kembali kepada Raja Ahab dan menyampaikan satu lagi tuntutan daripada Raja Benhadad, “Dahulu Raja Benhadad menuntut supaya tuanku menyerahkan perak dan emas tuanku, isteri-isteri serta anak-anak tuanku.
6 Tetapi sekarang baginda akan menyuruh para pahlawannya menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang dianggap berharga oleh mereka. Mereka akan datang kira-kira pada waktu ini esok.”
7 Raja Ahab memanggil semua pemimpin negerinya lalu bertitah, “Lihatlah, orang itu hendak membinasakan kita. Orang itu mengirim berita kepada beta dan menuntut supaya isteri-isteri dan anak-anak beta, perak serta emas beta diserahkan kepadanya, dan beta bersetuju.”
8 Tetapi para pemimpin dan rakyat menjawab, “Jangan hiraukan orang itu, jangan tunduk kepada tuntutannya!”