1 Raja-Raja 20:23-29 BM

23 Para pegawai Raja Benhadad berkata kepadanya, “Tuhan-tuhan Israel itu tuhan-tuhan gunung. Itulah sebabnya mereka dapat mengalahkan kita. Tetapi kita pasti mengalahkan mereka jika kita bertempur di tanah rata.

24 Sekarang gantikanlah tiga puluh dua orang raja itu dengan panglima.

25 Lalu kumpulkanlah pasukan tentera sebesar pasukan yang meninggalkan tuanku dahulu. Sediakanlah kuda dan kereta kuda yang bilangannya sama seperti dahulu. Kita akan menentang tentera Israel di tanah rata, dan pasti kita akan mengalahkan mereka.”Raja Benhadad bersetuju dan menurut nasihat mereka.

26 Pada musim bunga berikutnya, Raja Benhadad mengerah tenteranya dan maju bersama dengan mereka ke Afek untuk menyerang Israel.

27 Tentera Israel juga dikerah dan dilengkapi senjata. Mereka maju, lalu berkhemah dalam dua pasukan yang bertentangan dengan orang Siria. Tentera Israel nampaknya kecil, hanya seperti dua kawanan kambing jika dibandingkan dengan tentera Siria yang membanjiri kawasan itu.

28 Seorang nabi menghadap Raja Ahab dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN: ‘Oleh sebab orang Siria mengatakan bahawa Aku hanya berkuasa di gunung dan tidak berkuasa di tanah rata, Aku akan memberi engkau kemenangan terhadap tentera mereka yang besar sekali bilangannya. Engkau dan rakyatmu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”

29 Selama tujuh hari tentera Siria dan tentera Israel tinggal di perkhemahan mereka, berhadapan dengan satu sama lain. Pada hari ketujuh, mereka mula berperang dan tentera Israel membunuh 100,000 orang askar Siria.