1 Raja-Raja 20:30-36 BM

30 Askar yang terlepas dari situ lari ke kota Afek, dan di kota itu seramai 27,000 orang lagi ditimpa tembok kota itu.Raja Benhadad juga lari ke dalam kota itu dan berlindung di bilik belakang sebuah rumah.

31 Para pegawai Raja Benhadad menghadapnya dan berkata, “Hamba sekalian mendengar bahawa raja-raja Israel berbelas kasihan. Benarkanlah hamba semua menghadap raja Israel dengan memakai kain guni pada pinggang kami sebagai tanda penyesalan, dan tali pada leher kami sebagai tanda takluk. Semoga raja itu menyelamatkan nyawa tuanku.”

32 Oleh itu mereka memakai kain guni pada pinggang dan tali pada leher mereka lalu menghadap Raja Ahab. Mereka berkata, “Hamba tuanku, Raja Benhadad memohon supaya tuanku menyelamatkan nyawanya.”Raja Ahab bertitah, “Adakah baginda masih hidup? Baiklah! Baginda seolah-olah saudara beta sendiri!”

33 Para pegawai Raja Benhadad memang sedang menunggu tanda baik. Oleh itu apabila Raja Ahab menyebut “saudara,” mereka mengambil peluang itu lalu berkata, “Sebagaimana titah tuanku, Raja Benhadad ialah saudara tuanku!”Raja Ahab memberikan perintah, “Bawalah baginda kepada beta.” Apabila Raja Benhadad tiba, Raja Ahab mengajak Raja Benhadad naik ke kereta kudanya.

34 Raja Benhadad bertitah kepadanya, “Kota-kota yang dahulu direbut oleh ayahanda beta daripada ayahanda tuanku, akan beta kembalikan kepada tuanku. Tuanku boleh mendirikan pusat perdagangan di Damsyik seperti yang dahulu didirikan oleh ayahanda beta di Samaria.”Raja Ahab menjawab, “Dengan syarat-syarat ini beta akan membebaskan raja.” Mereka membuat satu persetujuan, lalu Raja Ahab membenarkan Raja Benhadad berangkat.

35 Atas perintah TUHAN, seorang daripada sekumpulan nabi menyuruh seorang nabi lain memukul dia, tetapi nabi itu enggan.

36 Oleh itu nabi yang pertama tadi berkata kepada nabi itu, “Kerana engkau tidak taat kepada perintah TUHAN, seekor singa akan menerkam engkau sebaik sahaja engkau meninggalkan aku.” Maka sebaik sahaja nabi itu pergi, seekor singa menerkam dia.