1 Raja-Raja 20:5-11 BM

5 Kemudian utusan-utusan itu kembali kepada Raja Ahab dan menyampaikan satu lagi tuntutan daripada Raja Benhadad, “Dahulu Raja Benhadad menuntut supaya tuanku menyerahkan perak dan emas tuanku, isteri-isteri serta anak-anak tuanku.

6 Tetapi sekarang baginda akan menyuruh para pahlawannya menggeledah istana tuanku dan rumah-rumah pegawai tuanku. Mereka akan mengambil segala yang dianggap berharga oleh mereka. Mereka akan datang kira-kira pada waktu ini esok.”

7 Raja Ahab memanggil semua pemimpin negerinya lalu bertitah, “Lihatlah, orang itu hendak membinasakan kita. Orang itu mengirim berita kepada beta dan menuntut supaya isteri-isteri dan anak-anak beta, perak serta emas beta diserahkan kepadanya, dan beta bersetuju.”

8 Tetapi para pemimpin dan rakyat menjawab, “Jangan hiraukan orang itu, jangan tunduk kepada tuntutannya!”

9 Oleh itu Raja Ahab bertitah kepada para utusan itu, “Katakan kepada tuanku raja bahawa beta bersetuju dengan tuntutannya yang pertama, tetapi beta tidak bersetuju dengan tuntutan yang kedua.”Para utusan itu pergi, lalu kembali lagi dan menyampaikan titah

10 daripada Raja Benhadad, “Raja hamba sekalian akan datang dengan cukup banyak askar untuk memusnahkan kota tuanku, sehingga mereka dapat membawa debu dari puing-puing kota dalam tangan mereka. Baginda bersumpah agar dewa-dewa membunuh baginda jika baginda tidak melakukan hal itu!”

11 Raja Ahab menjawab, “Katakanlah kepada Raja Benhadad bahawa seorang askar yang sejati membanggakan kebesarannya setelah pertempuran, bukan sebelumnya!”