13 Dua orang jahat itu datang dan duduk di hadapan Nabot. Mereka menuduh Nabot di hadapan orang ramai bahawa dia telah mengutuk Allah dan raja. Oleh itu Nabot dibawa ke luar kota lalu direjam sampai mati.
14 Berita bahawa Nabot telah direjam sampai mati disampaikan kepada Izebel.
15 Sebaik sahaja Izebel menerima berita itu, dia berkata kepada Raja Ahab, “Nabot sudah mati. Sekarang pergilah dan ambillah ladang anggur yang tidak mahu dijualnya kepada tuanku.”
16 Ketika itu juga Raja Ahab pergi untuk memiliki ladang anggur itu.
17 Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, nabi dari Tisbe itu,
18 “Pergilah kepada Raja Ahab di Samaria. Engkau akan menemuinya di ladang anggur Nabot. Dia berada di sana untuk mengambil alih ladang itu.
19 Katakanlah kepadanya bahawa Aku, TUHAN berfirman kepadanya, ‘Setelah engkau membunuh pemiliknya, adakah engkau hendak mengambil alih hartanya pula?’ Beritahulah dia bahawa demikianlah firman-Ku, ‘Di tempat anjing-anjing menjilat darah Nabot, di situ juga darahmu akan dijilat anjing!’ ”