17 Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ”
18 Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta! Dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!”
19 Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya.
20 TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza.
21 Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya,
22 ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ”
23 Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!”