3 Raja Ahab bertanya kepada para pegawainya, “Mengapakah kita masih belum berbuat apa-apa untuk merampas semula kota Ramot di Gilead daripada raja negeri Siria? Ramot milik kita!”
4 Raja Ahab bertanya kepada Raja Yosafat, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?”Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga askar dan pasukan berkuda beta.
5 Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”
6 Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Raja Ahab bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah,” jawab mereka. “TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
7 Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
8 Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.”
9 Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.