5 Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”
6 Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Raja Ahab bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah,” jawab mereka. “TUHAN akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
7 Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
8 Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang hal yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya bertitah demikian.”
9 Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.
10 Kedua-dua orang raja itu, yang berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua.
11 Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ”