11 Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu,
12 Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun.
13 Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun.
14 Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.”
15 Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda.
16 Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo.
17 Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki.