28 Tiap-tiap pegawai daerah juga menyediakan barli dan jerami untuk kuda tunggangan dan kuda yang menarik kereta kuda, di mana sahaja makanan haiwan diperlukan.
29 Allah memberi Raja Salomo kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa serta pengetahuan yang amat dalam.
30 Raja Salomo menjadi lebih bijak daripada orang bijak di negeri Timur dan orang bijak di negeri Mesir.
31 Baginda adalah orang yang paling bijaksana: lebih bijak daripada Etan orang Ezrahi dan Heman, Kalkol dan Darda, anak-anak Mahol. Nama Raja Salomo termasyhur di semua negeri jiran.
32 Baginda mengarang 3,000 bidalan dan lebih daripada 1,000 mazmur.
33 Baginda dapat berbicara tentang pokok dan tumbuh-tumbuhan: daripada pokok sedar yang tumbuh di pergunungan Lebanon sampai kepada rumput hisop yang tumbuh di tembok. Baginda berbicara tentang binatang, burung, reptilia, dan ikan.
34 Raja-raja di seluruh dunia mendengar tentang kebijaksanaan Raja Salomo, dan mereka mengutus orang kepada baginda untuk mendengar ucapan baginda.