30 Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami.
31 Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah,
32 dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah.
33 Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni,
34 semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka.
35 Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati,
36 semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya.